Friday 10 March 2017

'Ada penjawat awam baru berkhidmat beberapa tahun tetapi mampu beli iPhone & pandu kereta mewah' - SPRM

'Ada penjawat awam baru berkhidmat beberapa tahun tetapi mampu beli iPhone & pandu kereta mewah' - SPRM



PUTRAJAYA - Gejala rasuah dan salah guna kuasa dalam kalangan penjawat awam dilaporkan semakin serius sejak 10 tahun kebelakangan ini dan jika tidak dibendung gejala itu akan terus meningkat. 

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Azam Baki berkata, kegiatan itu serius membabitkan tiga sektor utama iaitu penguatkuasaan, perolehan dan kes-kes berprofil tinggi. 

Sehubungan itu, Azam menegaskan bahawa SPRM menetapkan tempoh selama tiga tahun untuk membersihkan perkhidmatan awam daripada gejala rasuah khususnya dalam kalangan agensi penguat kuas serta pihak berkuasa negeri dan tempatan. 

"Antara faktor utama mendorong gejala rasuah adalah apabila transaksi ekonomi semakin meningkat berikutan negara yang sedang membangun. 

"Sebab itu sejak tahun lalu, SPRM bertindak agresif. Langkah proaktif ini dilakukan memandangkan dalam tempoh tiga tahun lagi Malaysia akan mencapai status sebuah negara maju," katanya, memetik laporan dari akhbar Utusan Malaysia hari ini. 

Menurut Azam, berdasarkan statistik Bahagian Pengurusan Rekod dan Teknologi Maklumat SPRM, sebanyak 665 kertas siasatan telah dibuka melibatkan penjawat awam sepanjang tahun 2016 sehingga Februari lalu. 

"Daripada jumlah itu, seramai 548 penjawat awam yang ditangkap. Manakala 63 lagi kes telah dituduh di mahkamah. 

"Pembabitan kumpulan sokongan dalam kegiatan rasuah biasanya berlaku apabila sudah berkhidmat selama beberapa tahun dan mulai mahir dengan tugas mereka, ditambah pula dengan pengaruh rakan sejawat atau kakitangan yang lebih senior. Mereka mula pandai membuat rangkaian dan terjebak dalam kancah rasuah. 

"Antara langkah proaktif yang diambil oleh SPRM adalah menerusi indikator 'hidup mewah dan melebihi pendapatan sebenar' semasa melakukan pemantauan dan siasatan terhadap penjawat awam," katanya. 

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Shamshun Baharin Mohd Jamil berkata, sejak tahun 2014 hingga tahun lalu, SPRM telah menahan 2,329 orang dan daripada jumlah tersebut, 54% membabitkan 1,267 individu berumur 40 tahun ke bawah. 

635 atau 50% dalam lingkungan usia itu merupakan penjawat awam yang terlibat dalam gejala rasuah. Mereka yang ditahan terdiri dalam kumpulan sokongan dan pelaksana bermula gred 17 sehingga 28. 

"Ada kes yang disiasat SPRM membabitkan kakitangan kerajaan yang baru berkhidmat beberapa tahun tetapi mampu membeli telefon pintar iPhone keluaran terbaru, selain memandu kenderaan yang boleh dikategorikan sebagai mewah," katanya. 


EmoticonEmoticon